Sponsors

Senin, 30 Desember 2013

2 orang kanan Dr M dikait dakwaan beri IC di Sabah

  • Nigel Aw
  • 5:05PM Jan 16 2013
 
Dua bekas orang kanan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini dikaitkan oleh saksi-saksi yang memberi keterangan kepada suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berhubung dakwaan pemberian kewarganegaraan untuk jadi pengundi di Sabah.

NONEBekas pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah memberi
keterangan bahawa dia dan yang lain-lainnya menginap di rumah Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin (kanan), yang ketika itu merupakan setiausaha politik kepada Dr Mahathir, untuk mengeluarkan kad pengenalan biru kepada pendatang asing.

Yakup Damsah, yang ketika itu ketua JPN Tamparuli, memberitahu RCI bahawa beliau dan pegawai lain JPN telah diterbangkan dari Sabah ke Kuala Lumpur.

Katanya, selepas menerima arahan dari pengarah JPN Sabah ketika itu, Abdul Rauf Sani, mereka diminta pergi ke Kuala Lumpur dan ditempatkan di kediaman Abdul Aziz di Kampung Pandan.

Beliau berkata mereka ditugaskan untuk menandatangani kad pengenalan yang akan diberikan kepada pendatang, yang kemudiannya dilamina di ibu pejabat JPN di Petaling Jaya dan dihantar ke JPN Kota Kinabalu untuk pengagihan.

Ditahan di bawah ISA

Yakup berkata, mereka telah diberi taklimat mengenai tugasan khas oleh seseorang yang mereka tidak diketahui, bernama Mat Nor.
"Beliau minta kami mengeluarkan kad pengenalan biru kepada pendatang," katanya.

Yakup, yang kemudiannya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), berkata dia sedar bahawa operasi itu adalah haram, tetapi dia mengikuti arahan kerana dia adalah seorang penjawat awam.

"Kami telah diberitahu bahawa kami akan dilindungi daripada sebarang tindakan undang-undang," katanya.

Yakup berkata, kumpulannya menandatangani sebanyak 40,000 kad pengenalan biru dalam tempoh sebulan, berdasarkan borang permohonan yang telah diisi yang diberikan kepada mereka.

Katanya, mereka tidak melihat borang secara terperinci, "kita hanya tandatangan..."

"Kami tahu mereka adalah pendatang, kebanyakannya warga Indonesia dan Filipina, tetapi kami tidak tahu sama ada mereka pendatang yang sah atau tidak," katanya.

Beliau menambah bahawa niat tindakan mereka itu adalah untuk meningkatkan bilangan pengundi Islam di Sabah dan untuk memastikan bahawa mereka akan mengundi untuk Umno dalam pilihan raya 1994 di negeri Sabah.

Pada masa yang sama, kata Yakup, kumpulannya juga terlibat dalam operasi lain, di mana mereka tidak memberikan kewarganegaraan kepada pendatang tetapi memberi mereka resit kad pengenalan sementara (resit JPN) dengan tarikh luput, semata-mata untuk tujuan pilihan raya.
Bekas timbalan menteri dalam negeri juga dikaitkan
Sebelum itu, dalam keterangannya, bekas pengarah Jabatan Pendaftaran Sabah, Ramli Kamaruddin yang menggantikan Abdul Rauf, mendakwa operasi itu bermula hampir dengan tarikh pilihan raya.
Ramli mendakwa operasi itu dijalankan selepas secara peribadi menerima arahan dari timbalan menteri dalam negeri ketika itu, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub.

NONEMenjelaskan lebih lanjut mengenai operasi itu, Ramli mendakwa beliau telah diarahkan untuk mengeluarkan resit kad pengenalan kepada pendatang asing menggunakan butiran mereka yang sudahpun ada dalam daftar pemilih tetapi tidak pernah mengundi sebelumnya.

Beliau mendakwa menerima panggilan dua minggu sebelum pilihan raya negeri Sabah pada 1994 untuk menemui Megat Junid di sebuah hotel.
Beliau mendakwa telah diarahkan untuk membantu memastikan akan kemenangan kerajaan negeri yang disokong oleh kerajaan persekutuan.

Ramli mendakwa telah diarahkan untuk mengeluarkan resit JPN menggunakan nama dan nombor IC pengundi yang sudah ada dalam daftar pemilih dengan tujuan bagi memboleh mereka mengundi.

Resit JPN adalah slip kad pengenalan sementara yang dikeluarkan sebelum menerima kad pengenalan sebenarnya. Dokumen tersebut adalah memadai untuk mengundi, jelas beliau.
Personaliti lain yang hadir di hotel tersebut ketika itu ialah Datuk Osu Sukam yang menjadi ketua menteri Sabah pada tahun 1999.

Ketika dihubungi lewat petang ini, jawapan ringkas Aziz ialah: "Saya tak ingat apa-apa mengenai perkara itu. Terima kasih."

Tidak ada komentar:

Posting Komentar