Sponsors

Senin, 24 Februari 2014

Yakin 20 000 Rumah PGBF Siap Setahun Lebih Awal


KUALA LUMPUR – Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yakin pembinaan 20,000 unit rumah di bawah Program Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) dapat disiapkan dalam tempoh empat tahun, iaitu setahun lebih awal daripada yang disasarkan.

Katanya setakat ini sebanyak 9,954 unit sudah diluluskan atau dalam pembinaan di kawasan tanah rancangan Felda di seluruh negara.

“Kita yakin projek ini akan berjalan lebih laju dan dapat mencapai sasaran dalam tempoh empat tahun,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri majlis penutupan Konvensyen Generasi Felda 2013 yang dilakukan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim.

Pembinaan 20,000 unit rumah PGBF dalam tempoh lima tahun itu diumum oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2013.

Ketika diminta mengulas mengenai mesyuarat pengurusan Felda bersama Najib semalam, Mohd Isa berkata antara lain Perdana Menteri meminta supaya bilangan rumah PGBF ditambah.

Sementara itu, Razali dalam sidang media sama memberitahu beliau akan menyerahkan resolusi yang diterimanya daripada konvensyen berkenaan kepada Perdana Menteri.

Konvensyen dua hari berkenaan disertai oleh 1,300 peserta terdiri daripada wakil peneroka, Majlis Belia Felda dan pegawai seranta. – BERNAMA

Tidak ada komentar:

Posting Komentar